Rayuan Ditolak, Selangor FC Kekal Dihukum – FAM

PETALING JAYA: Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak rayuan Selangor FC berhubung kes salah laku penyokong dan kegagalan mematuhi obligasi penganjuran pada aksi suku akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan FC bulan lalu.

Dalam mesyuarat khas pertama bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung pada Selasa, jawatankuasa berkenaan memutuskan tiada asas kukuh untuk mengetepikan keputusan asal Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Selangor FC kekal dihukum beraksi tanpa penonton bagi dua perlawanan Piala FA di gelanggang sendiri termasuk aksi separuh akhir kedua menentang Sabah FC pada 30 November ini.

Selain hukuman stadium kosong, denda RM100,000 yang dikenakan sebelum ini turut dikekalkan tanpa sebarang pengurangan.

“Selepas meneliti keseluruhan dokumen dan pembentangan, Jawatankuasa Rayuan sebulat suara mengekalkan keputusan terdahulu,” kata FAM dalam satu kenyataan ringkas.

Rayuan itu difailkan susulan insiden membabitkan salah laku penyokong dan kegagalan mematuhi peraturan penganjuran ketika aksi Suku Akhir 2 Piala FA 2025-2026.

Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 14 November lalu telah menjatuhkan hukuman tersebut selepas siasatan mendapati berlaku pelanggaran serius terhadap peraturan penganjuran pertandingan yang ditetapkan badan induk bola sepak negara itu.

Anda Mungkin Berminat