Rayuan Ditolak, Siti Bainun Terus Jalani Hukuman Penjara 12 Tahun

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, atas kesalahan mengabaikan dan mendera remaja syndrom down, Bella.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Azman Abdullah sebulat suara menolak rayuan terakhir Siti Bainun untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 3 Mei 2023.

“Kami mendapati pihak pendakwaan membuktikan kes terhadap perayu melampaui keraguan munasabah. Sabitan adalah kukuh untuk dikekalkan,” katanya.

Menurut Azman, kecederaan dialami Bella yang ketika itu berusia 13 tahun pada 2021, bukan akibat kemalangan atau perbuatan sendiri, sebaliknya disokong keterangan saksi bahawa ia berpunca daripada penderaan.

Gambar yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan kesan luka pada tangan, kecederaan lama di kepala, muka, leher dan belakang, selain kesan melecur.

Hakim turut menyatakan bahawa “haiwan yang tidak mempunyai akal tidak tergamak mendatangkan kecederaan sedemikian”.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan mengabaikan dan 12 tahun kerana mendera, dengan kedua-duanya berjalan serentak.

Siti Bainun, 33, turut diarahkan menandatangani bon berkelakuan baik bernilai RM5,000 selama lima tahun dengan seorang penjamin serta melaksanakan 200 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Mahkamah Tinggi pada Mei tahun lalu mengekalkan sabitan dan hukuman itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat