Rayuan Siti Mastura ditolak, kekal bayar RM750,000 kes fitnah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Ahli Parlimen PAS, Siti Mastura Muhammad, membayar ganti rugi RM750,000 kerana memfitnah tiga pemimpin kanan DAP.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Ahmad Kamal Shahid sebulat suara menolak rayuan tersebut, sekali gus mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bertarikh 4 Disember 2024.

Mahkamah turut menolak rayuan balas Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok berhubung jumlah ganti rugi, tanpa sebarang perintah kos.

Dalam penghakiman, mahkamah menegaskan kenyataan dibuat adalah fakta dan bukan pendapat.

“Perkataan dipertikaikan itu bukanlah pendapat, tetapi kenyataan fakta, dan ia adalah jelas palsu,” kata hakim itu.

Mahkamah turut menekankan dakwaan mengaitkan individu dengan komunisme adalah bersifat fitnah.

“Melabelkan seseorang mempunyai pertalian dengan parti komunis yang diharamkan… tidak dapat dinafikan adalah bersifat fitnah.

“Kenyataan sedemikian menyentuh dasar kesetiaan, integriti, dan reputasi seseorang,” katanya.

Selain itu, mahkamah mendapati defendan gagal membuktikan kebenaran dakwaan serta bergantung kepada sumber tidak disahkan.

“Seorang defendan tidak boleh sekadar mengulangi maklumat yang tidak disahkan daripada sumber tanpa nama dan mendakwanya sebagai kebenaran.

“Perbuatan sedemikian adalah melulu dan tidak bertanggungjawab,” kata hakim itu lagi.

Mahkamah turut menolak pembelaan tanggungjawab politik kerana tiada usaha munasabah dibuat untuk mengesahkan maklumat, selain mengekalkan dapatan wujudnya niat jahat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat