Razman Zakaria didakwa cetus perkauman pula di Perak

PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggul didakwa menyebarkan fitnah yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama di negeri Perak.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ucapan Razman baru-baru ini mengandungi kenyataan yang berbau fitnah dan kebencian.

“YB Razman Zakaria menjadikan isu Kerajaan Perpaduan Perak sebagai bahan ucapan kebencian dengan melabelkan Kerajaan Perpaduan hari ini dikuasai ‘bangsa DAP’ yang kononnya membuat keputusan-keputusan merugikan Islam dan orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mujahid berkata, Kerajaan Perpaduan dibentuk atas persefahaman politik antara BN dan PH untuk menstabilkan keadaan setelah semua blok parti gagal mendapat majoriti.

“Persefahaman BN-PH adalah atas syarat utama iaitu menjaga Islam dan kebebasan beragama bagi yang bukan Islam serta menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa pembahagian kuasa dalam Kerajaan Perpaduan adalah berdasarkan persetujuan yang dicapai antara beliau dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Muhammad Saarani.

“Tidak timbul soal perkauman di sini tetapi atas persefahaman menstabilkan kepentingan rakyat Perak,” jelasnya.

Beliau turut mengkritik Razman Zakaria yang dikenali sebagai Pak Teh kerana mendustakan penyokong PAS dan pengundinya tentang penjualan arak terbuka.

“Pak Teh (Razman Zakaria) hanya menggunakan sentimen jahat perkauman dan agama untuk mendapat laba politik dengan menipu pengundi dan pengikut PAS,” katanya.

Beliau menyeru pengikut dan pengundi PAS agar tidak termakan fitnah keji itu dan menolak kerusi-kerusi PAS yang dimenangi serta memberikan peluang kepada calon Melayu PH dan BN untuk mengukuhkan kestabilan yang dinikmati.

Anda Mungkin Berminat