Razman Zakaria mohon maaf kepada Kor Ming atas dakwaan fitnah bendera China

PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria tampil membuat permohonan maaf kepada Nga Kor Ming, susulan fitnah yang mengaitkan Pengerusi DAP Perak itu dengan insiden mengibarkan bendera China di Teluk Intan, Perak, dua bulan lalu.

Dalam hantaran di media sosial, Razman mengakui terkhilaf dan terkeliru antara dua program yang dirasmikan oleh Kor Ming pada 13 September dan satu program pada 24 Oktober yang melibatkan insiden kibaran bendera China.

“Setelah dibuat penelitian daripada sumber maklumat, ternyata Kor Ming tidak berada dalam program perarakan yang mencetuskan kontroversi tersebut,” katanya pada Khamis.

Razman mengakui bahawa, dakwaan tersebut tidak benar dan tidak berasas serta meminta maaf kepada Kor Ming atas segala penderitaan dan rasa malu yang diakibatkan.

“Saya meminta maaf tanpa apa-apa rizab kepada Kor Ming untuk segala penderitaan dan rasa malu yang diakibatkan kepadanya disebabkan dakwaan-dakwaan ini,” katanya.

Beliau juga memberi aku janji untuk tidak membuat dakwaan serupa di masa hadapan.

Pada 25 Oktober lalu, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaporkan mempertimbang untuk mengambil tindakan terhadap Razman susulan kenyataan yang menuduhnya berada dalam program sambutan Guan Dong Sedunia di Teluk Intan pada 24 Oktober.

Peserta program itu dilaporkan mengibarkan bendera China, dan videonya tular di media sosial sebelum laporan polis dibuat.

Anda Mungkin Berminat