RCI bukan balas dendam terhadap Tun M – Anwar

PUTRAJAYA: Tidak timbul naratif dendam berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan RCI adalah untuk menyemak semula undang-undang berkenaan Pulau Batu Puteh.

“Tidak timbul pun (untuk balas dendam), pasukan (petugas) khas itu dibuat sebelum saya pun, itu masa (Datuk Seri) Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Menterinya (ketika itu adalah) Datuk Seri Hamzah (Zainudin), (Datuk Seri) Takiyudin (Hassan), (PPK) ada buat (kajian) dan ‘finding’ (penemuan dalam laporan PPK) lebih teruk lagi. Jadi tak usah main (naratif dendam),”

“Ini soal wilayah, mana boleh ada ke negara yang mengizinkan mudah begitu serah (Pulau Batu Puteh) tak boleh, itu prinsip kita. Saya tak cadang apa-apa itu serah kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Ulum SMK Agama Putrajaya pada Jumaat.

Anwar ditanya mengenai dakwaan pembangkang yang mengatakan RCI berkenaan adalah untuk membalas dendam.

Di Parlimen pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut menegaskan usul membahaskan laporan RCI itu bukan bertujuan mahu mendakwa mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau berkata, ia bagi membolehkan kerajaan mengambil cadangan serta keputusan untuk memperbaiki kelemahan berkaitan kes itu.

Beliau berkata, usul itu mempamerkan kesediaan Kerajaan Madani untuk mendedahkan laporan berkaitan kes berkenaan kepada umum, berbanding keputusan membabitkan kes sama yang dimuktamadkan Kabinet terdahulu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat