PUTRAJAYA: Agenda reformasi perkhidmatan awam kini berada pada landasan kukuh dan sudah menampakkan hasil ketara dalam meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata, pembaharuan yang digerakkan ketika ini bukan lagi sekadar dasar di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan nyata yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Setakat ini, 1,007 projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) telah didaftarkan di seluruh negara dan 323 daripadanya berjaya diselesaikan.
“Usaha ini membawa penjimatan kos pematuhan lebih RM2.01 bilion setahun,” katanya pada Majlis Perasmian Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 pada Sabtu.
Menurut beliau, pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (ILTIZAM) yang berkuat kuasa pada 1 Disember lalu akan menjadi pemacu utama ke arah tadbir urus lebih telus dan berakauntabiliti.
Akta tersebut menetapkan standard baharu bagi mutu penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan setiap agensi lebih responsif terhadap keperluan rakyat.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Pekeliling ILTIZAM serta pengenalan Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA) yang akan menjadi instrumen penilaian baharu dalam mengukur keberkesanan perkhidmatan kerajaan.
Shamsul Azri turut menyeru seluruh penjawat awam agar terus komited melaksanakan reformasi secara konsisten bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal relevan dan menepati kehendak semasa.
Program Rancakkan MADANI dan konvensyen tersebut merupakan kesinambungan inisiatif reformasi perkhidmatan awam yang dipacu sejak awal pentadbiran kerajaan dalam usaha mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan kecekapan sektor awam.







