KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan ekonomi lama yang tidak mampan, sebaliknya memerlukan reformasi menyeluruh yang melibatkan subsidi, cukai, struktur fiskal dan sistem penjagaan kesihatan.
Berucap dalam ucaptama Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini, Anwar berkata, reformasi struktur bukan lagi satu pilihan.
“Reformasi bukan satu kemewahan tetapi keperluan nasional.
“Kita tiada pilihan selain melaksanakannya,” katanya.
Menurut beliau, rasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan secara adil agar bantuan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
“Subsidi tidak salah jika disasarkan kepada golongan memerlukan.
“Tetapi memberi subsidi kepada golongan kaya dan warga asing yang tidak membayar cukai adalah tidak adil dan membebankan kewangan negara,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa reformasi mungkin kurang digemari ramai, namun ia penting untuk membina asas ekonomi yang kukuh dan inklusif dalam jangka panjang.
Anwar menyeru agar institusi kewangan dan perbankan turut memikul tanggungjawab dalam mendidik masyarakat tentang keperluan reformasi fiskal.
Berhubung isu kesihatan awam, Anwar mengakui bahawa kos rawatan swasta yang semakin meningkat telah menyukarkan akses rakyat terhadap penjagaan kesihatan berkualiti.
“Ini bukan semata-mata isu ekonomi tetapi isu kesejahteraan nasional.
“Ramai rakyat tidak mampu mendapatkan rawatan kesihatan kerana kos yang tinggi,” ujarnya.
Sebagai langkah awal, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Bersama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan bagi merangka pendekatan holistik ke arah sistem kesihatan lebih mampu milik.
Cadangan termasuk ketelusan harga, penggunaan teknologi digital dan pelaksanaan insurans kesihatan asas untuk rakyat berpendapatan rendah.
Dalam nada berseloroh, Anwar turut berkongsi pengalaman peribadi semasa menerima rawatan di hospital kerajaan.
“Terdapat katil dibeli dengan harga ratusan ribu ringgit tetapi tidak digunakan sebaiknya.
“Ini mencerminkan pembaziran yang perlu dielakkan,” katanya.
Beliau turut menggesa penambahbaikan integriti institusi kerajaan dan swasta dengan penekanan terhadap ketelusan, akauntabiliti dan penguatkuasaan undang-undang.
“Kita tidak boleh berbicara tentang reformasi jika rasuah dan pembaziran masih berleluasa,” katanya.
Meskipun menghadapi ketidaktentuan global, beliau yakin ekonomi negara kekal kukuh dengan sokongan integrasi serantau menerusi ASEAN serta hubungan strategik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Kesatuan Eropah.
Anwar turut mengumumkan penubuhan Digital Asset Innovation Hub bagi mempercepat penggunaan teknologi kewangan seperti mata wang digital dan sistem pembayaran moden yang tetap dikawal selia oleh pihak berkuasa.
Mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri menyeru agar semua pihak berganding bahu menjayakan agenda reformasi negara.
“Jangan hanya menunggu laut yang tenang. Belajarlah untuk belayar dalam badai dengan lebih cekap,” katanya.