Reformasi MADANI: Ketelusan, Akauntabiliti Jadi Teras Pentadbiran

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan siri reformasi institusi yang dianggap sebagai antara langkah paling penting dalam sejarah pentadbiran negara.

Antara reformasi utama yang diumumkan termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau sepuluh tahun serta memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyambut baik pengumuman tersebut dengan menegaskan bahawa langkah itu akan memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalam sistem negara, sekali gus mengelakkan penumpuan kuasa dalam jawatan-jawatan utama.

“Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan reformasi institusi yang penting, termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau sepuluh tahun serta memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Pada masa yang sama, beliau berkata, Kerajaan MADANI turut berhasrat membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kebebasan Maklumat 2026 yang bakal memberikan akses lebih luas kepada rakyat terhadap maklumat serta keputusan kerajaan.

Akta itu dijangka melengkapkan peranan Majlis Media Malaysia dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat dan relevan, sekali gus melahirkan masyarakat MADANI yang berinformasi dan mampu membuat keputusan penting dalam kehidupan seharian.

Pengumuman itu dilihat sebagai kesinambungan kepada kejayaan reformasi terdahulu sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

Antara pencapaian yang telah direkodkan termasuk penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang memberi autonomi kepada Parlimen untuk mengurus tadbirannya sendiri, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang berjaya mengurangkan karenah birokrasi sekurang-kurangnya 25 peratus dalam tempoh tiga tahun serta Akta Perolehan Kerajaan 2025 yang memperkukuh ketelusan dan integriti dalam proses perolehan awam.

Selain itu katanya, kerajaan turut melaksanakan dasar pemberian kewarganegaraan secara automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan bapa warga asing, sekali gus mengangkat martabat wanita serta memperkukuh hak kesaksamaan gender.

Nga berkata, reformasi yang sedang dijalankan bukan sahaja menunaikan janji manifesto tetapi juga akan meningkatkan tahap ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam sistem pentadbiran negara.

“Kerajaan MADANI kekal komited untuk merealisasikan agenda reformasi institusi ini demi memperkukuh demokrasi, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik, selaras dengan kepentingan rakyat serta demi masa depan negara,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus berdiri teguh bersama kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya negara menuju ke arah kecemerlangan dan disanjung tinggi di pentas dunia.

Anda Mungkin Berminat