Reformasi MADANI Terus Diperkasa, Pelaburan Tertinggi RM384.4 Bilion Dicatat Sepanjang 2025

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh agenda reformasi pada tahun mendatang, selepas mencatat pelbagai pencapaian penting sepanjang 2025 termasuk pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara berjumlah RM384.4 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sesi bersama ketua pengarang dan wartawan tempatan serta antarabangsa di Putrajaya pada Rabu, beliau merumuskan pencapaian kerajaan sepanjang tahun ini yang merangkumi aspek ekonomi, pentadbiran, dan kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah, kita meneruskan usaha reformasi sepanjang 2025 termasuk menerusi penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, RUU Perolehan Kerajaan serta penyasaran subsidi yang adil tanpa membebankan rakyat serta menutup ruang ketirisan,” katanya.

Anwar turut menyatakan bahawa pengukuhan peranan badan penguat kuasa telah membuahkan hasil dengan rampasan dan penalti mencecah RM15.5 bilion.

Beliau berkata, kemajuan ketara juga dicapai dalam pembangunan Sabah dan Sarawak termasuk penyelesaian sembilan daripada 13 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Daripada sudut ekonomi, Anwar berkata, Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah dengan jumlah RM384.4 bilion, manakala ringgit terus menunjukkan pengukuhan sekitar RM4.11 berbanding dolar Amerika.

Dalam aspek kesejahteraan rakyat katanya, kerajaan menaikkan gaji penjawat awam dan gaji minimum, selain usaha menoktahkan kemiskinan tegar yang hampir mencapai sasaran dengan berbaki hanya 0.09 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi Taklimat Penutup 2025 Bersama Pengarang Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. 17 Disember 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Namun begitu, Perdana Menteri mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan.

“Di sebalik pencapaian ini, saya akui bahawa masih wujud kelemahan, kekurangan dan ruang penambahbaikan.

“Kerajaan MADANI akur dengan pandangan, teguran dan kritikan serta beriltizam untuk bekerja lebih keras pada tahun hadapan,” katanya.

Menjawab persoalan mengenai rasional pelantikan baharu dalam Kabinet, Anwar berkata, langkah itu dibuat bagi menyuntik tenaga segar dalam pentadbiran.

“Ia dibuat dengan mengambil kira keperluan menyuntik nafas dan tenaga baharu di beberapa kementerian termasuk melibatkan lebih ramai tokoh muda bagi menggerakkan agenda reformasi dengan lebih pantas,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kabinet MADANI akan mempertingkatkan usaha reformasi demi memenuhi tuntutan rakyat.

“Insya-Allah, Kabinet MADANI akan mempertingkatkan usaha pada tahun mendatang demi memastikan reformasi yang lebih bermakna selari dengan tuntutan rakyat, sambil menentang keras naratif durjana yang menghasut perpecahan, perkauman dan pelampau agama,” tegas beliau.

Anda Mungkin Berminat