KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa isu kekurangan guru yang menjadi perhatian utama sejak tiga tahun Reformasi Pendidikan kini berjaya ditangani melalui pelantikan seramai 52,948 guru baharu di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelantikan yang dilaksanakan secara berfasa dari tahun 2023 hingga 2025 itu membolehkan kadar pengisian guru di sekolah-sekolah mencapai tahap 98 peratus, iaitu antara yang tertinggi pernah direkodkan.
Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan sistem pendidikan negara berada pada tahap optimum serta memberikan persekitaran pembelajaran terbaik kepada murid.
“Sepanjang tempoh tersebut, pelantikan guru baharu pada 2023 berjumlah 18,792 orang, diikuti 13,983 orang pada 2024, manakala tahun 2025 menyaksikan 20,173 lagi guru dilantik bagi memenuhi keperluan sekolah di seluruh negara.
“Usaha berterusan ini bukan sahaja bertujuan menampung kekurangan guru, malah memastikan setiap sekolah mendapat tenaga pengajar mencukupi demi memperkasa agenda Reformasi Pendidikan” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Fadhlina berkata, kejayaan meningkatkan kadar pengisian guru sehingga hampir sepenuhnya membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan pendidikan lebih inklusif, berkualiti dan seimbang untuk generasi masa depan.
Baca juga:








