Oleh: Aliyaa Azmi
LANGKAH sangat wajar, itu rata-rata perbincangan aktif dalam kalangan netizen berkenaan reformasi pendidikan bermula 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Pendekatan baharu dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 itu disifatkan lebih sistematik, berfasa dan berorientasikan keperluan masa depan negara.
Antara fokus utama yang menerima maklum balas positif ialah pengenalan semula penilaian berpusat bagi murid Tahun Empat melalui sistem matriks pembelajaran, yang bertujuan menilai penguasaan asas pelajar lebih awal.
Seorang pengguna aplikasi X @FattahMan, berpandangan langkah ini mampu mengubah pendekatan pendidikan yang sebelum ini terlalu menumpukan peperiksaan di peringkat akhir persekolahan.
“Selama bertahun-tahun, kita menilai kejayaan pelajar hanya berdasarkan keputusan peperiksaan besar seperti SPM. Sedangkan masalah sebenar selalunya bermula di peringkat rendah, apabila asas membaca, menulis dan berfikir tidak kukuh.
“Penilaian awal memberi peluang kepada guru dan ibu bapa mengenal pasti kelemahan pelajar dengan lebih cepat dan merancang intervensi yang sesuai, bukan sekadar menghukum pelajar apabila mereka sudah ketinggalan terlalu jauh,” katanya.

Dia turut menambah bahawa sistem ini berpotensi mengurangkan jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar sekiranya sokongan susulan dilaksanakan secara menyeluruh.
Sementara itu, @Eichaa di Thread pula menyifatkan penekanan terhadap Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai bukti kerajaan tidak mengabaikan pembinaan jati diri nasional dalam arus globalisasi.
“Saya menghargai pendirian Perdana Menteri yang mengekalkan keseimbangan antara kemajuan dan nilai. Reformasi ini menunjukkan hala tuju yang jelas bahawa pendidikan bukan hanya soal kebolehpasaran pekerjaan, tetapi juga pembentukan karakter, integriti dan kefahaman sejarah negara.
“Pendidikan yang seimbang akan melahirkan warganegara yang bukan sahaja cekap bekerja, tetapi matang dari segi pemikiran dan nilai,” tulisnya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh @NazratulSyakila di Thread, yang melihat reformasi ini sebagai peluang menyusun semula silibus agar lebih relevan dengan landskap ekonomi masa hadapan.
“Pasaran kerja kini menuntut kemahiran analitik, komunikasi, penyelesaian masalah dan kebolehsuaian. Jika kurikulum dapat diselaraskan dengan keperluan ini tanpa membebankan pelajar dengan hafalan semata-mata, kita boleh melahirkan graduan yang lebih berdaya saing, inovatif dan bersedia menghadapi perubahan teknologi seperti kecerdasan buatan,” tulisnya.
DIa turut berharap pelaksanaan dasar ini dilakukan secara berperingkat supaya sekolah, guru dan ibu bapa mempunyai masa mencukupi untuk menyesuaikan diri.
Baca juga:








