Reformasi pendidikan tidak boleh bersendirian

PETALING JAYA: Reformasi pendidikan tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian, sebaliknya perlu merangkul kekuatan semua pihak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, pendidikan mesti menghubungkan inovasi, sosial, kecerdasan buatan (AI), agama dan nilai kemasyarakatan.

“Keperluan mencari keseimbangan antara kemajuan digital serta AI dengan pengukuhan jati diri dan nilai kemasyarakatan yang menjadi kerangka pemikiran bangsa,” katanya setelah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara (MPN) pada Jumaat.

Mesyuarat turut membincangkan isu-isu mendesak seperti pelaksanaan STEM, penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah, selain kedudukan sekolah agama dan pondok.

Anwar juga mahu sinergi universiti diperkukuh bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) demi membina masa depan pendidikan yang berdaya saing dan berakar pada jati diri bangsa.

Majlis Pendidikan Negara merupakan platform tertinggi untuk menyelaras hala tuju dasar pendidikan negara. Ia menghimpunkan kementerian, ahli akademik, pakar serta pemegang taruh bagi merangka strategi pendidikan jangka panjang yang inklusif dan progresif.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat