PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekolahnya dalam kejadian di tandas sekolah, minggu lalu.
Mengikut pertuduhan, pelajar Tingkatan Satu itu didakwa membunuh mangsa berusia 16 tahun di tandas perempuan sekolah berkenaan antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati. Namun bagi pesalah bawah umur, hukuman maksimum penjara 30 tahun boleh dikenakan jika sabit kesalahan.
Prosiding dijalankan secara tertutup mengikut Akta Kanak-Kanak 2001. Tertuduh, yang berpakaian lokap jingga, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.
Memetik berita tempatan, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 November depan.
Terdahulu, tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya sekitar jam 8.50 pagi menaiki kenderaan polis tanpa logo dan dibawa masuk melalui laluan belakang. Ibu bapa remaja itu turut hadir mengikuti prosiding.
Dalam kejadian pada 14 Oktober lalu, mangsa, pelajar perempuan Tingkatan Tiga, ditemui tidak sedarkan diri di tandas perempuan sekolah. Polis kemudian menahan suspek yang juga rakan sekolah mangsa serta merampas dua senjata, termasuk pisau dan kerambit, dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Baca juga: