Remaja 15 Tahun Antara Ditahan Cuba Seludup 3,200 Liter Diesel

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan sebuah bot bersama tujuh lelaki tempatan, termasuk seorang remaja 15 tahun, kerana cuba menyeludup keluar 3,200 liter diesel semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot itu dikesan bergerak mencurigakan sebelum ditahan pada jam 9 pagi, kira-kira 2.3 batu nautika tenggara Pulau Libaran.

Pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 18 tong biru berisi minyak diesel dipercayai untuk diseludup ke negara jiran. Muatan itu dianggarkan berjumlah 3,200 liter.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 15 hingga 72 tahun, dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki serta membawa barang kawalan tanpa kebenaran.

Tiga daripada mereka turut didapati melanggar Peraturan Pendaftaran Negara 1990 apabila gagal mengemukakan kad pengenalan diri ketika diperiksa.

“Bot ini juga melakukan kesalahan di bawah Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen Sabah) 2008 kerana menggunakan lesen bot lain serta tidak membawa peralatan keselamatan yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Nilai rampasan termasuk bot terbabit dianggarkan hampir RM107,000. Semua barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut.

“Tangkapan ini sebahagian usaha berterusan Maritim Malaysia membanteras penyeludupan dan menjaga keselamatan perairan negara,” tegasnya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkenaan jenayah maritim ke Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-222519 atau talian kecemasan 999.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat