Remaja 16 Tahun Maut Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan Di Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 44, Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, malam tadi.

Kejadian berlaku sekitar pukul 10.30 malam apabila sebuah kereta jenis Proton Satria yang dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun bertembung dengan dua buah motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki berumur 16 tahun serta Honda C100 yang dinaiki dua remaja lelaki, masing-masing berusia 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pembonceng motosikal Honda C100 mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dua lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.

“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tujuan bedah siasat.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang lima tahun,” jelas beliau.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.

Anda Mungkin Berminat