Malang tidak berbau. Begitulah yang boleh digambarkan nasib dua remaja yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal yang ditunggani mereka terbabas, lalu merempuh sebatang pokok di Persiaran Perdana Bandar Sri Damansara, Selangor pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhruddin Abd Hamid, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.15 petang.
“Motosikal jenis Yamaha yang ditunggang remaja berusia 16 tahun bersama pembonceng berumur 13 tahun dalam perjalanan dari rumah di Damansara Damai menghala ke Desa Jaya.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba motosikal tersebut hilang kawalan, terbabas lalu terlanggar pokok di bahu jalan kiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Mohd Fakhruddin turut menegaskan agar ibu bapa prihatin terhadap tingkah laku anak-anak agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat.
“Ibu bapa atau penjaga tidak membenarkan anak-anak di bawah jagaan membawa kenderaan tanpa lesen memandu yang sah.
“Ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dikenakan hukuman maksimum RM1,000, manakala ibu bapa dan penjaga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 26(1)B Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dikenakan hukuman maksimum RM1,000,” katanya.
Baca juga: