PETALING JAYA: Polis telah menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 19 tahun yang disyaki cuba merogol seorang kanak-kanak perempuan di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek merupakan seorang penganggur telah ditahan sekitar tengah hari tadi dengan bantuan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
“Dia akan direman dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, memetik laporan media.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat Subuh.
Kata beliau, polis sedang melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan suspek mempunyai kad orang kelainan upaya (OKU).
“Siasatan mendapati suspek tidak mengenali mangsa.
“Mengenai suspek mempunyai kad OKU pula, kita sedang siasat kerana kita khuathir kad itu bukan miliknya,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial menerusi satu kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang lelaki dilihat masuk dalam kawasan solat muslimat dan menuju ke arah mangsa yang sedang solat di bahagian belakang jemaah wanita.
Suspek kemudiannya bertindak memeluk dan mendukung kanak-kanak perempuan itu keluar dari kawasan solat muslimat.
Baca juga: