KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya golongan muda berusia seawal 18 tahun.
Beliau menegaskan sudah tiba masanya masyarakat berhenti menormalisasikan perbuatan maksiat atas nama kebebasan peribadi, sebaliknya bangkit memperkukuh nilai akhlak dan pegangan rohani.
“Agama bukan sekadar subjek pelajaran, tetapi panduan hidup. Kepada anak muda, jaga maruah dan nilai diri. Hiduplah dengan prinsip, bukan hanya ikut arus,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni mendedahkan seramai 222 pelajar IPT dikesan menghidap HIV pada usia 18 hingga 19 tahun pada tahun lalu, manakala sebanyak 1,091 kes direkodkan dalam tempoh lima tahun sejak 2020.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata usaha menangani isu jangkitan HIV dalam kalangan anak muda memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk agensi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pendidikan agar bekerjasama membendung masalah tersebut demi masa depan negara.
“Kerajaan MADANI komited untuk membina masyarakat yang bukan hanya cemerlang dari sudut intelek, tetapi juga sihat dari aspek akhlak dan spiritual,” ujarnya.
Baca juga:








