KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 39 sebuah kondominium di Sungai Besi, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.53 malam daripada seorang lelaki yang memaklumkan terdapat individu terjatuh dari bangunan.
Bertindak atas maklumat, pihaknya mengarahkan pasukan penyiasat termasuk pegawai penyiasat jenayah, jurufoto serta unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Siasatan mendapati mangsa merupakan warganegara tempatan dan berasal dari Semenyih.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 39 dan ditemui di atas bumbung sebuah kereta yang diparkir di hadapan Restoran Nasi Kandar di kawasan kediaman berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, katanya, hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan ruang legar tingkat 38 tempat mangsa menyewa bilik mendapati mangsa keluar dari rumah melulu berlari seorang diri menuju ke ruang tangga tingkat 39.
Beliau juga percayai kemungkinan mangsa terjatuh dari situ kerana terdapat kesan pecahan cermin tingkap dan telefon peribadi mangsa ada di kawasan tersebut.
Tambahnya, siasatan lanjut turut melibatkan rakaman percakapan daripada abang mangsa, yang memaklumkan bahawa mangsa merupakan pelajar jurusan penerbangan di sebuah akademi terletak di ibu kota.
“Menurut keluarganya, mangsa seorang yang pendiam dan tidak mempunyai sejarah penyakit, kemurungan, mahupun masalah peribadi.
“Beliau juga tidak mempunyai teman wanita dan tidak menunjukkan sebarang tanda bermasalah,” jelas beliau.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan ambulans dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada pukul 11.34 malam.
Mayat mangsa dihantar ke HTCM untuk bedah siasat.
“Beberapa sempal DNA diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis,” katanya lagi.