BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun melecur dalam kejadian kebakaran melibatkan lima buah rumah teres di Taman Londang, Parit Raja di sini malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 8.21 malam sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam bersama bantuan BBP Rengit digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, Mohd Shamin bin Mohamed Salikin berkata, kebakaran membabitkan rumah teres jenis kekal bernombor 11 hingga 15 dengan kemusnahan berbeza tahap, termasuk sebuah rumah yang hampir musnah sepenuhnya.
Menurut beliau, mangsa berkenaan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
“Kebakaran turut melibatkan dua buah kereta dan lapan buah motosikal yang berada di kawasan sama,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Api berjaya dikawal pada jam 8.46 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.10 malam.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Baca juga:








