PONTIAN: Seorang remaja perempuan meninggal dunia dipercayai dirempuh sebuah lori di Jalan Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, Johor semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada jam 7.45 petang.
“Pada jam 7.20 petang, mangsa yang berusia 13 tahun dipercayai baharu sahaja turun dari sebuah bas yang berhenti di bahu kiri jalan sebelum cuba melintas.
“Bagaimanapun, sebuah lori jenis Hino yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atau pegawai penyiasat, Inspektor Tong Siew Fen menerusi talian 010-209 0396.








