Remaja maut motosikal dilanggar dari belakang

Seorang remaja maut selepas motosikal diboncengnya dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton wira ketika memberhentikan motosikal bagi kerja-kerja membaiki jalan, di Kilometer 50 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kemalangan berlaku pukul 4.15 pagi, membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan dua motosikal jenis K-Light 202 serta Yamaha Y15ZR dari arah yang sama.

“Kemalangan berlaku apabila mangsa bersama rakannya yang masing-masing berumur 17 tahun menunggang motosikal jenis K-LIGHT 202 tiba di lokasi kejadian sebelum diarahkan berhenti oleh seorang pekerja warga Bangladesh yang bekerja di situ.

“Mereka diarahkan berhenti bagi membolehkan kenderaan dari laluan bertentangan meneruskan perjalanan terlebih dahulu. Tiba-tiba datang sebuah proton Wira dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun dari arah belakang dan melanggar motosikal mereka” katanya dalam dalam satu kenyataan.

Akibatnya, mangsa yang membonceng K-Light 202 cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang memberhentikan motosikalnya turut dilanggar Proton wira berkenaan.

Kedua-dua pemandu motosikal cedera ringan dan dihantar ke hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan.

Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital yang sama untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat