Remaja OKU asnaf bersyukur, kini dapat dengar dengan jelas

Hidup bagai dilahirkan semula, begitulah perumpamaan buat seorang remaja wanita orang kelainan upaya (OKU) apabila diberi peluang memperoleh alat bantuan pendengaran daripada Tabung Haji (TH).

Fatien Ainul, 19, merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik dan dilahirkan dalam keadaan lelangit berlubang, tiada batang hidung dan tidak boleh mendengar.

Remaja yang berasal dari Klang, Selangor itu merupakan anak yatim kerana bapanya telah meninggal dunia pada usianya tiga tahun.

“Ibu yang membesarkan kami lapan beradik sebab ayah dah meninggal waktu saya umur tiga tahun.

“Kami bukan keluarga berada, tinggal pun dengan nenek, tapi syukur sebab masih ada tempat tinggal untu kami sekeluarga”, ujarnya kepada Malaysia Bangkit.

Fatien yang kini sudah bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak di sebuah tadika mengakui dirinya mengalami kesukaran berkomunikasi sehingga remaja itu tidak mempunyai kawan di sekolah.

“Dekat sekolah dulu memang selalu kena ejek sebab nak bercakap dengan saya memang kena cakap kuat dan orang pun mula menyampah.

“Sedih sebab memang sendiri waktu sekolah tak pernah ada kawan, tapi syukur sebab ibu yang sentiasa bagi semangat dan dorongan kepada saya untuk teruskan pengajian sehingga habis SPM”, katanya.

Tambahnya lagi, alat bantuan pendengaran ini adalah impiannya namun mustahil untuk dimiliki kerana harganya yang mencecah RM6,000.

Walaubagaimanapun ibunya, Salina Abdullah, 56, memahami isi hati anaknya dan membuat permohonan di Yayasan Pelangi Malaysia (YAPEL) untuk Projek Pelangi- Dari asnaf kepada asnaf.

Selang tiga bulan kemudian, alat bantuan pendengaran daripada YAPEL telah diterima olehnya.

“Perbezaan memang sangat ketara, kalau dulu orang tanya lain saya jawab lain, sekarang orang pakai pelitup muka pun saya dah boleh dengar dengan jelas.

“Terima kasih kepada YAPEL dan TH kerana adakan inisiatif untuk bantu golongan asnaf seperti kami, kalau tiada kerjasama ini, rasanya sampai sekarang saya masih tak boleh dengar”, jelasnya lagi.

YAPEL yang sebelumnya bergerak atas platform ‘Projek Pelangi-Dari asnaf kepada asnaf’ kelolaan Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) telah memberi manfaat kepada lebih kurang 50,000 penerima melalui puluhan projek komuniti, pendidikan dan kesihatan.

Terdahulu, TH menyumbang sebanyak RM1 juta kepada YAPEL melalui Program Pusat Audiomatrik Bergerak (Mobile Hearing) dalam satu majlis yang diadakan di Kompleks Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), Sg Ramal Dalam, Kajang pada Khamis.

Melalui Inisiatif baharu di bawah program Zakat CSR ini, TH menyerahkan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai Pusat Audiometrik Bergerak, lengkap dengan dua unit bilik kedap bunyi, peranti saringan pendengaran seperti audiometer, alat bantu pendengaran serta khidmat kaunseling untuk membantu para asnaf yang memerlukan.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/02/22/th-sumbang-rm1-juta-bantu-masalah-pendengaran-golongan-asnaf/

Anda Mungkin Berminat