SEREMBAN: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli Chergun, Kuala Pilah disahkan meninggal dunia pada Isnin akibat wabak kusta, manakala lapan lagi individu sedang dirawat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kes berkenaan mula dikesan pada 2 Januari lalu membabitkan sembilan penduduk Orang Asli dari Kampung Chergun dan Guntur.
“Saringan secara agresif telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap semua penduduk di kedua-dua kampung berkenaan.
“Bagaimanapun hanya 65 peratus penduduk melakukan saringan tersebut dan ia diteruskan lagi pada 15 Februari lalu bagi mereka yang belum melakukan saringan di Kampung Chergun diikuti Kampung Guntur pada 22 Februari ini,” katanya kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.
Aminuddin berkata, seorang daripada sembilan pesakit telah meninggal dunia di rumah iaitu remaja perempuan yang mengalami demam selama seminggu.
“Lapan lagi pesakit kini dalam rawatan susulan,” katanya.
Sementara itu, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebagai langkah berjaga-jaga kerajaan negeri bersama Pejabat Kesihatan Daerah telah mengambil keputusan untuk melaksanakan kuarantin di kedua-dua kampung berkenaan.
“Ia termasuklah dengan menutup kawasan rekreasi Jeram Tengkek yang berada berhampiran dengan kampung tersebut bagi mengekang penularan wabak.
“Segala bekalan makanan serta keperluan untuk penduduk di kedua-dua kampung itu akan diuruskan oleh wakil rakyat kawasan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung berkenaan,” katanya.