Remysta Mampu Bawa Suara Generasi Baharu Di Moyog – Mustapha Sakmud

PENAMPANG: Remysta Jimmy Taylor, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Moyog, disifatkan sebagai wakil generasi muda yang membawa aspirasi pembaharuan untuk kawasan tersebut.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, ketika lawatan ke Bilik Gerakan Utama PH di Plaza Kivatu berkata, Remysta mempunyai disiplin tinggi serta rekod perkhidmatan yang cemerlang.

“Remysta membawa suara generasi baharu yang mahu melihat Moyog maju dengan infrastruktur lebih baik.

“Perkhidmatan rakyat yang lebih cekap juga menjadi fokus utama calon muda itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Dalam pada itu, Mustapha turut berkata, kekuatan jentera parti menjadi nadi utama kemenangan termasuk peranan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan sukarelawan yang terlibat.

“Dengan kesatuan jentera dan kerja keras semua pihak, kita yakin dapat membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan di Moyog,” ujarnya.

Terdahulu, kerusi Moyog menyaksikan pertembungan di antara calon PKR-PH dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di mana PH diwakili oleh Remystar Taylor.

Dalam dua pilihan raya sebelum ini, Moyog dimenangi oleh Warisan melalui Jenifer Lasimbang pada 2018 dan Derell Leking (2020).

Anda Mungkin Berminat