RENCANA | Keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi bukan sekadar berita disiplin.
Ia adalah tamparan besar terhadap integriti bola sepak negara, membuka perbualan lebih luas tentang profesionalisme, kejujuran dan hala tuju masa depan sukan paling popular di Malaysia.
Dokumen setebal lebih 60 halaman yang dikeluarkan FIFA mendedahkan sesuatu yang mengejutkan, di mana sijil kelahiran yang dihantar FAM bagi membuktikan keturunan Malaysia tujuh pemain terbabit didapati ‘forged’ dan ‘doctored’.
Perkataan itu bukan digunakan sewenang-wenangnya oleh badan induk bola sepak dunia.
Ia menggambarkan tahap serius pemalsuan, di mana tempat kelahiran datuk atau nenek pemain yang asalnya tercatat di Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda, tiba-tiba bertukar menjadi Melaka, Pulau Pinang, Johor atau Kuching.
Lebih mengejutkan, proses itu bermula dengan dokumen yang diserahkan pemain melalui ejen atau pegawai penghubung hanya melalui WhatsApp.
Namun apabila sampai ke meja FIFA, dokumen tersebut sudah berubah.
Perubahan sistematik itu tidak lagi boleh dianggap kesilapan teknikal tetapi manipulasi yang disengajakan.
FIFA menolak penjelasan FAM bahawa ia sekadar kesilapan pentadbiran.
Sebaliknya, badan itu menegaskan FAM menunjukkan ‘lack of credibility’ iaitu satu frasa yang dalam bahasa pentadbiran antarabangsa membawa makna berat iaitu ketidakupayaan atau ketidakjujuran dalam mengurus maklumat asas.
Pemain pula tidak terlepas daripada kritikan. Mereka dituduh melakukan ‘gross negligence’ kerana menandatangani borang naturalisasi dalam bahasa Melayu tanpa memahami kandungannya.
Ada yang mengesahkan secara bertulis bahawa mereka tinggal di Malaysia selama sepuluh tahun, walhal baru beberapa bulan menetap di sini.
FIFA menegaskan, dalam sistem antarabangsa, setiap tandatangan membawa liabiliti.
Kesan kepada bola sepak Malaysia amat besar. Kehadiran pemain-pemain ini dalam perlawanan kelayakan rasmi termasuk Piala Asia 2027, dianggap memberi ‘undue sporting gain’.
Gol yang dijaringkan mereka kini dipersoalkan kerana kelayakan asas pemain itu sendiri tidak sah.
Hukuman yang dikenakan jelas iaitu penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain, denda CHF2,000 setiap seorang dan denda CHF350,000 terhadap FAM.
FIFA menolak hujah bahawa ia berpunca daripada salah faham atau kelemahan dokumentasi.
Bagi mereka, tanggungjawab penuh tetap terletak pada badan kebangsaan.
Namun lebih penting daripada hukuman ialah persoalan yang timbul selepasnya.
Bagaimana proses naturalisasi Malaysia boleh begitu longgar sehingga dokumen kelahiran antarabangsa boleh ‘bertukar tempat’ tanpa dikesan? Mengapa dokumen yang sepatutnya disahkan melalui saluran diplomatik boleh berubah bentuk begitu mudah? Dan siapakah sebenarnya yang terlibat dalam pemalsuan ini?
FIFA tidak menjawab persoalan itu kerana mandat mereka hanya menilai bukti dan menjatuhkan hukuman disiplin.
Tetapi implikasinya jelas iaitu reputasi FAM tercalar di mata dunia, dasar naturalisasi Malaysia dipersoal dan kemungkinan tindakan lanjut daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih menghantui.
Skandal ini menjadi peringatan keras bahawa kejayaan jangka pendek tidak boleh dibina atas dokumen yang meragukan.
Jika bola sepak Malaysia mahu bergerak ke arah profesionalisme sebenar, episod ini perlu dilihat bukan sekadar kecuaian teknikal tetapi sebagai kegagalan institusi.
Dan kegagalan institusi hanya boleh diperbaiki melalui reformasi menyeluruh bukan sekadar permohonan maaf.








