KUMPULAN rap wanita yang pernah menghangatkan era 1990-an, Res2, terkenal menerusi lagu Kepastian dan Pengertian mengesahkan mereka akan membuat persembahan dalam konsert WE 4U2C Live in Concert yang bakal berlangsung pada 15 September depan.
“Anak-anak 90-an! Ayuh kita hidupkan kembali era kegemilangan lalu. Simpan tarikh berkenaan, dapatkan tiket sekarang dan ayuh kita gegarkan konsert ini!”, ujar Arin iaitu salah seorang ahli anggota kumpulan Res2.
Menurut sumber, Res2 dipilih kerana mereka merupakan antara kumpulan rap wanita yang memiliki kehebatan dalam tarian.
Kumpulan ini mula ditubuhkan pada penghujung tahun 1992, sewaktu muzik hip hop sedang mencetuskan fenomena di Malaysia.
Ketika awal penubuhannya, Res2 dianggotai oleh lima ahli asal iaitu Erin, Baby Arin, Ezza, Yati dan Wati.
Konsert di Idea Live Arena, Petaling Jaya ini turut menjanjikan sebuah persembahan penuh tenaga, diselitkan dengan elemen kejutan, persembahan khas, dalam usaha menghidupkan semula semangat era 90-an yang sarat dengan kenangan manis.
Tiket juga telah mula dijual secara dalam talian dengan sambutan awal yang memberangsangkan, sekali gus membuktikan bahawa kumpulan 4U2C masih mempunyai tempat di hati peminat walaupun selepas tiga dekad.
Baca juga: