PETALING JAYA: Projek Residensi Hektar Gombak yang sekian lama terbengkalai akhirnya kembali bernafas selepas Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memperoleh pembiayaan RM125 juta, membuka lembaran baharu buat 2,400 pembeli yang menunggu sejak bertahun-tahun.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan kerja-kerja penyiapan dijangka diselesaikan pada suku pertama 2027, manakala serahan milikan kosong dijangka dibuat selewat-lewatnya suku kedua tahun sama.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, Mesyuarat TFST Bil. 6/2025 memperkukuh intervensi kerajaan bagi memastikan lebih banyak projek sakit dan terbengkalai dapat disiapkan dengan segera.
“TFST digerakkan secara agresif kerana pembeli tidak boleh terus menanggung derita projek yang gagal disiapkan,” katanya.
Menurut beliau, sehingga 31 Oktober 2025, TFST merekodkan penurunan ketara jumlah projek bermasalah di seluruh negara.
Projek sakit menurun daripada 353 kepada 335, projek lewat daripada 146 kepada 111, manakala projek terbengkalai berkurang daripada 107 kepada 105.
Sejak penubuhannya pada 2023, TFST telah memulihkan 1,333 projek melibatkan 159,638 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar RM126.47 bilion.
Bagi tahun 2025 sahaja, sebanyak 395 projek sakit dan lewat berjaya dipulihkan, manakala 11 projek terbengkalai disiapkan sepenuhnya.
KPKT menegaskan kejayaan pemulihan ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi teknikal dan penyedia utiliti yang memastikan setiap projek disiapkan mengikut realiti di lapangan.
Kementerian itu turut memberi jaminan bahawa pemantauan akan terus diperkukuh dan kerjasama strategik diperluas bagi mencapai sasaran sifar projek terbengkalai menjelang 2030.
Residensi Hektar Gombak sebelum ini diklasifikasikan sebagai projek sakit selepas mengalami kelewatan kronik akibat masalah kewangan dan pembinaan yang terhenti, menyebabkan ribuan pembeli terjejas sejak bertahun-tahun.








