PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyuarakan kebimbangan terhadap Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan Gaza, sambil menegaskan bahawa sebarang usaha ke arah keamanan mesti berpaksikan keadilan dan penghormatan terhadap hak asasi rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik, parti itu menyatakan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dan menolak sebarang bentuk penyelesaian yang mengenepikan prinsip undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, Resolusi 2803, walaupun dibentangkan sebagai langkah penstabilan, ianya dilihat menimbulkan persoalan undang-undang dan moral yang serius.
“PKR berpendirian bahawa sebarang inisiatif damai mesti berlandaskan keadilan, undang-undang antarabangsa serta perlindungan jelas terhadap hak asasi rakyat Palestin.
“Malangnya, Resolusi 2803 gagal memenuhi prinsip-prinsip asas tersebut,” tegas beliau.
Dr Maszlee turut menyuarakan kebimbangan bahawa resolusi tersebut memintas hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin, satu prinsip yang tidak boleh diketepikan dalam mana-mana proses damai yang sah.
Beliau berkata, rundingan yang tulen dan inklusif, bukan penyelesaian yang dipaksakan, adalah asas kepada penyelesaian politik yang berkekalan.
Selain itu katanya, Resolusi 2803 seolah-olah mengenepikan autoriti badan perundangan antarabangsa yang sah termasuk dapatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan ketetapan Perhimpunan Agung PBB yang telah mengisytiharkan pendudukan sebagai tidak sah.
Menurutnya lagi, sebarang inisiatif yang menyingkirkan ketetapan itu berisiko melemahkan kredibiliti sistem perundangan antarabangsa.
Tambahnya lagi, penekanan tidak seimbang terhadap kebimbangan keselamatan pihak pendudukan, sambil mengetepikan hak pihak yang diduduki hanya akan mengukuhkan ketidakadilan struktur yang menjadi punca konflik.
Keamanan, menurut Dr Maszlee, tidak boleh dicapai dengan mengorbankan maruah, kebebasan dan aspirasi sah rakyat Palestin.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa Resolusi 2803 boleh mencairkan proses akauntabiliti yang sedang berlangsung terutamanya ketika siasatan terhadap jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan semakin giat dijalankan.
Beliau berkata, masyarakat antarabangsa mesti berwaspada agar keadilan tidak ditangguhkan atau dikompromi.
“PKR tetap percaya bahawa keamanan bermakna hanya dapat dicapai melalui penghormatan penuh terhadap undang-undang antarabangsa, pengakhiran pendudukan serta pelaksanaan kenegaraan Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang mekanisme peralihan di Gaza mestilah memperkukuh, bukan menyejat hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Dalam semangat multilateralisme dan keadilan global, beliau menyeru agar semua tindakan antarabangsa berpandukan prinsip hak untuk kembali, hak untuk menentukan nasib sendiri serta hak untuk hidup dalam maruah dan keselamatan.








