RESPA sedia hulur tangan, sokong MARA lantik warden berpengalaman

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) menyokong penuh cadangan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang berhasrat melantik bekas pegawai polis dan tentera sebagai warden di institusi di bawah agensi itu.

Presidennya, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin, berkata langkah itu wajar dilaksanakan kerana bekas anggota keselamatan memiliki kepakaran serta disiplin tinggi yang diperlukan dalam membentuk sahsiah dan mengawal tingkah laku pelajar.

“Pelantikan warden yang berpengalaman dan terlatih dalam disiplin akan memberi kelebihan kepada Institusi MARA. Mereka lebih berkemampuan menilai perwatakan, perangai dan kecenderungan pelajar serta bertindak awal sebelum kejadian buruk seperti pergaduhan, buli atau penderaan berlaku,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Jumaat.

Dalam pada itu, Meor berkata keberadaan warden berpengalaman mampu mewujudkan rasa hormat dan memupuk disiplin dalam kalangan pelajar kerana mereka sedar diawasi individu yang terlatih serta tegas.

“Pelajar akan lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan kerana mereka tahu warden yang menyelia mereka adalah individu terlatih dan berpengalaman,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya pihak institusi turut menyediakan dokumen Aku Janji yang ditandatangani pelajar dan ibu bapa, bagi memberi kesedaran mengenai kesan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan.

“Aku janji antara pelajar, ibu bapa dan institusi perlu diwujudkan dengan jelas untuk memastikan mereka faham kesan pelanggaran peraturan, termasuk tindakan dibuang institusi atau dikenakan denda,” katanya.

Meor berkata RESPA bersedia membantu MARA mengenal pasti calon warden yang layak dan berpengalaman dalam kalangan lebih 10,000 pesara polis yang bernaung di bawah persatuan itu.

Katanya, inisiatif itu bukan sahaja membuka ruang kepada pesara menyumbang semula kepada masyarakat, malah memberi peluang kepada mereka untuk terus aktif dan menjana pendapatan tambahan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat