RANGKAIAN restoran myBurgerLab menamatkan perkhidmatan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO), Andrew Chong berikutan hantaran peribadi di media sosial yang menghina nilai Islam.
Kenyataan itu menyebut pihak syarikat memandang serius perkara tersebut kerana ia menimbulkan kemarahan, kekecewaan dan rasa tersinggung khususnya dalam kalangan masyarakat Muslim.
“Hantaran itu tidak mencerminkan prinsip teras kami iaitu hormat, perpaduan dan keterangkuman untuk semua rakyat Malaysia,” kata myBurgerLab pada Jumaat.

Syarikat itu menegaskan ia tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk diskriminasi atau penghinaan agama, malah memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.
Sebagai tindakan lanjut, myBurgerLab akan melaksanakan latihan wajib sensitiviti budaya dengan kerjasama pakar termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam tempoh 30 hari, selain sesi ulang kaji tahunan.
“Kepercayaan hanya dapat diperoleh melalui tindakan. Kami berjanji lebih berwaspada agar myBurgerLab kekal sebagai simbol keharmonian Malaysia,” tambah kenyataan itu.
Orang ramai juga dialu-alukan memberikan maklum balas melalui pautan https://bit.ly/mblimproves sebagai usaha penambahbaikan dalaman syarikat.
Sejak ditubuhkan pada 2012, myBurgerLab berkembang sebagai jenama tempatan popular dalam kalangan belia Malaysia dengan konsep restoran kasual. Syarikat itu terkenal dengan menu kreatif dan pendekatan mesra komuniti.
Baca juga: