KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan meluncurkan buku terbaharunya bertajuk Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times pada 7 Disember 2025 di Tsutaya Books, Pavilion Bukit Jalil, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat.
Buku itu menghimpunkan renungan serta pemikiran Anwar mengenai keadilan, reformasi dan cabaran dunia pasca normal, iaitu era perubahan pantas yang menuntut keberanian untuk menilai semula cara memahami diri, masyarakat dan masa depan bersama.
Karya terbaharu itu turut mengupas pelbagai persoalan besar semasa termasuk isu pascakolonialisme, Islamofobia, demokrasi serta pembentukan tata dunia baharu, selain dinamika politik dan sosial global yang semakin kompleks.
Peluncuran buku itu akan menambah senarai karya intelektual Anwar, termasuk buku berpengaruhnya The Asian Renaissance atau Pembaharuan Asia yang diterbitkan pada 1996.
Karya tersebut mengemukakan gagasan kebangkitan semula tamadun Asia berteraskan nilai moral, keadilan sosial, demokrasi dan kebebasan serta pernah menjadi rujukan penting dalam wacana politik serta pembangunan Asia.
Orang awam yang berminat turut dialu-alukan untuk menghadiri majlis peluncuran buku terbaharu itu.








