RHB siasat kakitangan didakwa muat naik hantaran sensitif libatkan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group mengesahkan sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung hantaran di media sosial yang didakwa dibuat oleh salah seorang kakitangannya yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan simbol berkaitan Israel.

Individu berkenaan, yang dikenali sebagai Siti Nurziswanis di media sosial, dipercayai bertugas di cawangan RHB Bukit Mertajam, Pulau Pinang, memuat naik hantaran di platform media sosial yang menampilkan imej Anwar mengenakan pakaian sari bersama simbol bendera Israel.

Tindakan itu mencetuskan kecaman meluas dalam kalangan warganet yang menganggap ia sebagai satu bentuk penghinaan dan cubaan mencetuskan provokasi terhadap pemimpin negara.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan malam tadi, RHB Banking Group menegaskan bahawa pandangan dan hantaran tersebut adalah bersifat peribadi serta tidak mewakili pendirian rasmi syarikat.

“RHB menegakkan piawaian tertinggi dalam aspek profesionalisme, integriti dan rasa hormat dalam setiap urusan, sama ada di dalam mahupun di luar tempat kerja. Kami memandang serius perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh.

“Tindakan tatatertib sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran terhadap Kod Etika dan Tatakelakuan Kumpulan,” katanya dalam kenyataan media itu.

Setakat ini, akaun media sosial milik individu masih ada dan membuat permohonan maaf secara individu, manakala pihak RHB dilihat giat menenangkan keadaan dengan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara adil dan telus.

Kes ini turut menarik perhatian warganet yang menyeru agar syarikat korporat lebih tegas dalam mengawal tindakan pekerja yang menyentuh isu sensitif berkaitan agama, bangsa, dan kepimpinan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat