Ribuan Dijangka Banjiri Himpunan Sumud Nusantara Malam Esok

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dijangka kembali bergema menerusi Himpunan Sumud Nusantara, Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka yang akan berlangsung esok di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Bermula jam 6 petang, himpunan itu dianjurkan sebagai simbol perpaduan serantau dan tanda penghargaan terhadap keberanian 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang dihalang secara ganas oleh rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

Acara itu dijangka menghimpunkan ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis kemanusiaan dan pertubuhan belia di bawah tema “Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka.”

Selain meraikan wira-wira kemanusiaan itu, penganjuran ini juga membawa mesej bahawa perjuangan rakyat Palestin bukan sekadar isu agama, tetapi isu kemanusiaan sejagat yang menuntut penyatuan seluruh rantau Nusantara.

Inisiatif berkenaan turut mencerminkan pendirian tegas kerajaan MADANI dalam menentang kekejaman rejim Israel serta mendesak agar laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka tanpa sekatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menyifatkan para sukarelawan GSF sebagai wira dan wirawati kemanusiaan negara yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan tanpa mengira sempadan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi. Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, kerajaan juga berhasrat menjadikan himpunan khas ini sebagai platform rakyat Malaysia melanjutkan gelombang solidariti bersama saudara-saudara di Gaza satu perjuangan yang tidak akan padam selagi keadilan belum ditegakkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat