BANTING: Susulan kerosakan teruk akibat ribut yang melanda kawasan sekolah pada petang Rabu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang mengambil langkah segera dengan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) selama dua hari bermula 16 hingga 17 Oktober 2025.
Dalam satu makluman rasmi yang dikeluarkan oleh pihak sekolah, SMKSJ memaklumkan bahawa mereka telah mendapat kelulusan Cuti Bencana daripada pihak berkuasa bagi membolehkan pelaksanaan PDPR secara menyeluruh.
“Dimaklumkan bahawa SMK Sijangkang Jaya telah mendapat kelulusan Cuti Bencana untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) pada 16 dan 17 Oktober 2025,” menurut kenyataan tersebut.
Ribut yang berlaku pada 15 Oktober telah menyebabkan kerosakan serius di beberapa bahagian sekolah, sekali gus menjejaskan keselamatan pelajar dan kelancaran proses Pengajaran dan Pembelajaran di bilik darjah.
“Langkah ini diambil berikutan kerosakan serius yang berlaku di kawasan sekolah akibat bencana ribut pada 15 Oktober 2025 (Rabu) yang menjejaskan keselamatan dan kelancaran proses PdPc di sekolah,” jelas pihak sekolah.
Sehubungan itu, semua murid SMKSJ akan meneruskan sesi pembelajaran dari kediaman masing-masing melalui kaedah PDPR seperti biasa.
Pihak sekolah turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas kerjasama dan sokongan mereka dalam memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak.
“Kerjasama semua ibu bapa murid SMKSJ amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih,” kata kenyataan itu.