KUALA LANGAT: Sebuah kejadian ribut pada 25 April 2026 sekitar pukul 4.15 petang telah menyebabkan kerosakan pada bumbung Unit Pesakit Luar Klinik Kesihatan Sijangkang, Kuala Langat, Selangor.
Hujan lebat yang menyusul turut mengakibatkan air memasuki ruang klinik.
Dalam kenyataan rasmi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan melibatkan kakitangan kesihatan mahupun orang awam.
“Tindakan segera telah diambil termasuk menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemulihan bekalan elektrik serta melantik kontraktor untuk kerja-kerja pembaikan.
“Penilaian lanjut akan dijalankan oleh Jurutera Daerah dalam masa terdekat,” kata JKNS dalam satu kenyataan.
Bagi memastikan keselamatan dan kelangsungan perkhidmatan, klinik tersebut akan ditutup sementara sepanjang kerja pembaikan dijalankan.
Perkhidmatan rawatan pesakit akan dipindahkan ke klinik berdekatan iaitu Klinik Kesihatan Kebun Baru, Klinik Kesihatan Teluk Panglima Garang, dan Klinik Desa Sijangkang Luar.
JKNS berkata, makluman kepada orang awam telah disampaikan melalui pelbagai saluran termasuk mesej kepada pesakit yang mempunyai janji temu, media sosial rasmi, pengumuman komuniti serta notis di premis klinik.
“Maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu.







