Ribut suria terkuat dalam 20 tahun, Aurora muncul di lokasi luar jangka

COLORADO: Aktiviti suria yang sangat kuat dari matahari kini sedang menuju ke Bumi dan dijangka berlaku pada malam Isnin hingga awal pagi Selasa (waktu tempatan).

Fenomena ini berpotensi menghasilkan pemandangan aurora menakjubkan di kawasan yang jarang mengalaminya, selain mengganggu komunikasi berasaskan satelit dan ketepatan sistem GPS.

Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (SWPC) mengesahkan ribut radiasi suria tahap S4, iaitu tahap kedua tertinggi daripada lima skala.

Menurut SWPC, ini merupakan ribut radiasi suria paling kuat dalam tempoh lebih 20 tahun, kali terakhir direkodkan pada Oktober 2003, memetik CNN pada Selasa.

“Kesan utama ribut ini dijangka tertumpu kepada operasi satelit, penerbangan, dan pelancaran angkasa lepas. SWPC telah memaklumkan beberapa agensi penting termasuk NASA, syarikat penerbangan dan pengendali grid elektrik supaya bersiap sedia menghadapi sebarang gangguan yang berpotensi berlaku.

“Apabila ribut radiasi suria melanda Bumi, tahap pendedahan radiasi boleh meningkat terutamanya kepada angkasawan di orbit rendah Bumi dan penumpang penerbangan laluan kutub.

“Angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa biasanya akan berpindah ke kawasan yang lebih terlindung sebagai langkah keselamatan,” katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, ribut geomagnetik yang berpunca daripada letusan jisim korona (CME) juga telah sampai ke Bumi. Letusan ini tercetus akibat suar suria kelas X, iaitu yang paling kuat, dan merupakan suar besar pertama direkodkan tahun ini.

Fenomena ini turut meningkatkan peluang melihat aurora borealis dan aurora australis. Cahaya berwarna-warni ini terhasil apabila zarah bercas berinteraksi dengan atmosfera Bumi, dan berkemungkinan dapat dilihat di kawasan utara Amerika Syarikat serta beberapa lokasi yang lebih ke selatan.

Walaupun operator satelit mungkin perlu mengambil langkah berjaga-jaga, pakar menegaskan bahawa gangguan teknologi berskala besar kepada orang awam tidak dijangka berlaku. Namun, aktiviti suria dijangka kekal aktif dan kemungkinan letusan baharu dalam tempoh seminggu masih wujud.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat