Ribut Tropika Senyar: MB Negeri Sembilan Arah Semua Agensi Bersiap Siaga

SEREMBAN: Ribut Tropika Senyar yang melalui Pantai Barat Semenanjung lewat malam tadi membawa kesan ketara di beberapa kawasan di Negeri Sembilan khususnya di Seremban dan Port Dickson dengan hujan melebihi 300 mm serta angin kencang yang menyebabkan kerosakan infrastruktur dan gangguan laluan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau menerima notifikasi awal daripada NADMA mengenai ribut tersebut sebelum menerima laporan kerosakan daripada pelbagai agensi pagi ini.

“Lewat malam tadi saya telah menerima notifikasi dari pihak NADMA berkenaan situasi Ribut Tropika Senyar yang akan melalui Pantai Barat Semenanjung.

“Negeri Sembilan termasuk dalam lokasi yang terkesan dengan laluan ribut yang membawa hujan melebihi 300 mm,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, antara insiden yang dilaporkan termasuk pokok tumbang yang menghalang jalan, bumbung rumah dan kedai tercabut serta kemalangan yang berpunca daripada halangan pokok tumbang.

“Pagi ini, saya telah menerima pelbagai laporan dari pelbagai agensi daerah Seremban dan Port Dickson berkenaan kesan ribut malam tadi seperti pokok tumbang yang menghalang jalan, bumbung rumah dan kedai yang tercabut dan termasuk kemalangan yang disebabkan pokok tumbang yang menghalang jalan,” katanya.

Bagi memastikan tindakan segera dapat diambil, Aminuddin mengarahkan semua agensi daerah untuk berada dalam keadaan siap siaga dan menguruskan kerosakan secepat mungkin.

“Saya telah mengarahkan semua agensi di setiap daerah untuk bersiap sedia untuk menguruskan semua kerosakan yang telah berlaku dan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang dan menghalang laluan jalan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa risiko banjir masih tinggi sekiranya hujan berterusan melebihi 200 mm dan Command Center telah diaktifkan untuk memantau semua ‘hotspot’ banjir di seluruh negeri.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, jika kadar hujan melebihi 200mm dalam masa yang panjang, mungkin ada kawasan yang akan mengalami banjir.

“Kita telah mengaktifkan Command Center untuk memantau semua lokasi ‘Hotspot’ banjir di seluruh Negeri Sembilan,” ujarnya.

Aminuddin menyeru rakyat agar sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang kejadian kepada pihak berkuasa.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Negeri Sembilan untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam situasi ini.

“Laporkan kepada pihak berkuasa jika ada kejadian yang tidak diingini berlaku di kawasan anda untuk tindakan segera dari pihak berkuatkuasa,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri berada dalam keadaan siap siaga dengan aset dan kekuatan agensi pengurusan bencana bagi memastikan keadaan terkawal.

“Kerajaan Negeri dalam keadaan bersiap sedia dengan seluruh aset dari agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana bagi memastikan situasi di negeri ini dapat diuruskan dengan baik.

“Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua,” katanya lagi.

Ribut Tropika Senyar dijangka terus memberi kesan kepada beberapa kawasan di Pantai Barat, dan orang ramai dinasihatkan mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa.

Anda Mungkin Berminat