PETALING JAYA: Ribut Tropika Senyar yang melanda negara sejak Khamis akhirnya melemah selepas membuat pendaratan di kawasan pantai antara Selangor dan Negeri Sembilan sekitar tengah malam tadi, sekali gus diturunkan taraf kepada sistem tekanan rendah.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan bahawa sistem berkenaan kini berada di tengah Semenanjung Malaysia dan sedang bergerak ke arah timur menuju ke perairan Laut China Selatan.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, walaupun ribut itu telah kehilangan kekuatan, pembentukan awan hujan masih aktif dan terus membawa risiko cuaca buruk di beberapa negeri.
Beliau berkata, MET Malaysia memberi amaran bahawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan keadaan laut bergelora dijangka menjejaskan kawasan tertentu, khususnya di Pahang dan Terengganu.
“Corak cuaca ini dijangka berterusan sehingga 29 November 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan cuaca dari semasa ke semasa dan mengeluarkan amaran baharu sekiranya berlaku perubahan ketara.
Orang ramai turut disaran agar sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat terkini melalui portal rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial serta talian hotline.
MET Malaysia turut mengingatkan bahawa kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan ketika cuaca tidak menentu, terutama di kawasan berisiko banjir dan angin kencang.








