KUALA LUMPUR: Malam penghargaan Rindu Bayangan anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bukan sekadar majlis makan malam tetapi menjadi wadah mengenang jasa serta legasi seni penyanyi dan komposer tersohor, allahyarham Jay Jay.
Acara yang berlangsung di Ampang baru-baru ini menerima sambutan luar biasa dengan semua meja makan malam habis terjual, malah terpaksa ditambah pada saat akhir yang mencerminkan kasih sayang yang mendalam terhadap allahyarham, atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus.
Majlis itu menyaksikan pelbagai penyanyi legenda tampil memperingati arwah menerusi persembahan khas, antaranya Datuk Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Hattan, Datuk Jeffrydin, Jatt Black Dog Bone, Tam Spider dan anggota asal kumpulan Carefree
Turut hadir, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin bagi menyaksikan malam penuh nostalgia itu.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez dalam pada itu berkata, allahyarham Jay Jay bukan sahaja berbakat besar tetapi dikenang sebagai insan berhati mulia dan profesional dalam industri muzik.
“Sehingga akhir hayat, arwah masih menerima undangan persembahan dan sentiasa membantu membimbing bakat baharu.
“Pemergiannya sangat dirasai. Yang tinggal kini hanya kenangan dan muzik yang ditinggalkan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penaja dan pihak yang menjayakan majlis tersebut yang turut dijadikan acara amal bagi membantu artis yang berada dalam kesusahan.
Acara menjadi lebih istimewa apabila legenda muzik, Datuk M Nasir membuat penampilan mengejut bagi mengenang persahabatannya dengan arwah selama lebih empat dekad.
“Saya kenal Jay Jay sejak 45 tahun lalu, sewaktu menonton Konsert Carefree. Ketika itu saya belum dikenali.
“Dari atas pokok di atas bukit, saya saksikan persembahan mereka. Tak sangka akhirnya kami bermain muzik bersama dan dia menjadi sebahagian hidup saya,” ujarnya.
Allahyarham Jay Jay menghembuskan nafas terakhir pada 4 Ogos tahun lalu di sebuah pusat perubatan di Kota Damansara selepas menjalani pembedahan pintasan jantung dan diserang angin ahmar.
Beliau memulakan karier sebagai vokalis dan pemain bes kumpulan Carefree yang popular dengan lagu Rindu Bayangan sebelum bergerak solo dan menghasilkan tujuh album termasuk lagu hit seperti Kau Yang Tersendiri, Cukuplah Sekali dan Keasingan Dalam Luka.
Antara gandingan duet beliau yang dikenang ialah bersama Dayangku Intan (Kita Insan Biasa) dan Ning Baizura (Erti Pertemuan).
Populariti beliau memuncak apabila dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 1988.
Pada malam itu juga, KARYAWAN menyampaikan sumbangan kepada waris beberapa seniman, termasuk balu Jay Jay, Zaitoon Wahid, anak Seniman Agung allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sazali, artis lain seperti Hairie KOOL, Zaiton Sameon dan Mariam Ahmad.