PETALING JAYA: Ringgit dilihat melonjak ke paras tertinggi baharu dalam tempoh lima tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Rabu.
Hal ini mencerminkan peningkatan keyakinan pasaran terhadap kestabilan politik serta tadbir urus kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik Sinar Harian, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.0490/0710 berbanding dolar AS daripada paras 4.0615/0665 ketika ditutup semalam. Paras itu hampir menyamai rekod pada 3 Mac 2021 apabila ringgit mencecah 4.0490/0530.
Difahamkan, pengukuhan terhadap ringgit didorong gabungan faktor luaran dan domestik, termasuk penyusutan Indeks Dolar AS (DXY) yang turun 0.39 peratus kepada 97.903 mata, selain sentimen positif terhadap pengurusan ekonomi negara yang lebih tersusun dan konsisten.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kejatuhan DXY berlaku selepas Conference Board melaporkan keyakinan pengguna AS merosot kepada 89.1 mata pada Disember berbanding 92.9 mata pada November, lebih rendah daripada anggaran konsensus 91.7 mata.

Beliau berkata, ringgit ditutup 0.39 peratus lebih tinggi berbanding dolar AS pada paras 4.06 semalam.
“Sehubungan itu, ringgit berpotensi mengekalkan momentum positifnya, disokong oleh data ekonomi terkini AS,” katanya.
Secara tidak langsung, pengukuhan peningkatan wang ringgit itu turut dipacu keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara di bawah kerajaan Madani, yang menekankan reformasi institusi, ketelusan tadbir urus serta kestabilan politik, sekali gus mengurangkan risiko dan meningkatkan daya tarikan Malaysia di mata pelabur asing.
Pada pembukaan dagangan, ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama dunia. Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5934/6076 daripada 2.6039/6072, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4718/5015 daripada 5.4851/4918, serta mengukuh berbanding euro kepada 4.7762/8022 daripada 4.7901/7960.

Di peringkat serantau ASEAN, ringgit terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1524/1701 daripada 3.1607/1648, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0126/0921 daripada 13.0486/0705, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 241.2/242.6 daripada 241.9/242.3, serta meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.88/6.92 daripada 6.90/6.91.
Prestasi ringgit ini dilihat sebagai petunjuk jelas bahawa kestabilan politik dan tadbir urus kerajaan yang lebih kukuh di bawah kepimpinan PMX menjadi antara pemangkin utama kepada keyakinan pasaran, sekali gus memberi ruang kepada mata wang negara untuk terus mengukuh dalam persekitaran global yang mencabar.
Baca juga:








