Ringgit kembali mengukuh, peningkatan berbanding Dolar AS

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Ringgit Malaysia (RM) menunjukkan peningkatan yang ketara setelah mengalami penurunan pada Isnin lalu.

Laporan yang dikongsikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan ringgit dibuka pada kadar 4.4660 berbanding nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang diniagakan, hari ini.

Nilai itu juga lebih tinggi berbanding sesi penutupan pada dua hari lalu yang mencatatkan kadar 4.4680.

Pada masa yang sama, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding pound Sterling kepada 5.5602/5689 berbanding 5.5430/5492 ketika penutupan pada Isnin dan juga menurun berbanding euro kepada 4.6281/6354 daripada 4.6128/6179.

Namun begitu, ringgit menguat berbanding yen Jepun kepada 2.9233/9281 berbanding 2.9352/9387.

Selain itu, ringgit juga mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 272.5/273.1 berbanding 273.1/273.5 dan lebih stabil berbanding peso Filipina pada 7.67/7.69 berbanding 7.69/7.70.

Ringgit turut menguat berbanding baht Thailand kepada 13.1060/1369 berbanding 13.1768/1986 namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3011/3067 berbanding 3.3006/3048 ketika penutupan pada Isnin.

Secara keseluruhannya, walaupun ringgit mengalami penurunan berbanding beberapa mata wang utama, prestasi mata wang tempatan tetap menunjukkan peningkatan yang menggalakkan berbanding dolar AS dan mata wang negara-negara ASEAN.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat