KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia melonjak ke paras RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat, tertinggi dalam tempoh hampir lapan tahun, sekali gus mencerminkan keyakinan pasaran terhadap hala tuju ekonomi negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, pencapaian itu bukan berlaku secara kebetulan tetapi hasil pendekatan berdisiplin kerajaan dalam mengurus kewangan negara, membanteras ketirisan dan memperkukuh tadbir urus.
“Pengukuhan ringgit ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi hasil pendekatan berdisiplin dalam pengurusan kewangan negara, pembanterasan ketirisan serta penambahbaikan tadbir urus yang dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Farhan berkata, kestabilan politik yang dipelihara kerajaan turut memainkan peranan penting dalam memulihkan keyakinan pelabur dan komuniti perniagaan antarabangsa terhadap Malaysia.
Menurutnya, nilai mata wang yang lebih kukuh bukan sekadar indikator pasaran kewangan, malah memberi kesan langsung kepada rakyat melalui kestabilan harga barangan import serta ruang fiskal lebih baik untuk kerajaan memperluas bantuan sosial.
“Apabila pelabur kembali yakin dan memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat, khususnya golongan muda,” katanya.
Beliau berkata, pengukuhan ringgit menghantar mesej jelas bahawa dasar ekonomi yang konsisten dan berintegriti mampu membawa hasil nyata kepada negara dan rakyat.
“Kerajaan komited memastikan momentum positif itu dapat dikekalkan demi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan serta kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang,” ujarnya.








