PETALING JAYA: Ringgit Malaysia kini berada dalam kelompok 20 mata wang paling berpengaruh dunia, menurut laporan Seasia Stats berdasarkan data rangkaian pembayaran antarabangsa SWIFT.
Pencapaian itu mencerminkan peningkatan peranan ringgit dalam perdagangan dan sistem kewangan serantau.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, menyifatkan pengukuhan ringgit didorong oleh hubungan perdagangan kukuh Malaysia, khususnya dengan China, Singapura dan negara-negara ASEAN lain.
“Walaupun peranannya masih sederhana, kemasukan ringgit dalam senarai tersebut mencerminkan kedudukan strategik Malaysia dalam rangkaian perdagangan Asia Pasifik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Setakat 5 Mei 2025, ringgit mencatat pengukuhan kepada 4.1990 berbanding dolar AS, iaitu peningkatan 6.2 peratus sejak awal tahun iaitu paras tertinggi untuk tahun ini.
Innes turut menjelaskan bahawa penggunaan ringgit semakin meluas dalam penyelesaian perdagangan, perjanjian dua hala serta aliran masuk portfolio terutamanya dalam sektor elektronik, sawit dan tenaga.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula menyifatkan bahawa keyakinan pelabur terhadap ringgit turut disokong oleh langkah-langkah fiskal kerajaan yang berani dan berkesan.
Antara strategi utama termasuk kenaikan Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) kepada 8 peratus, rasionalisasi subsidi diesel serta peningkatan kutipan hasil yang membantu mengurangkan defisit fiskal negara kepada 4.5 peratus.
Sehingga akhir Jun 2025, rizab pertukaran asing Malaysia meningkat kepada AS$120 bilion, yang menurut Afzanizam, terus menyokong prestasi ringgit dalam pasaran global.