Ringgit Susut Sedikit Berbanding Dolar AS, Prestasi Kukuh Berbanding Mata Wang Utama

KUALA LUMPUR: Sentimen pasaran terus dipengaruhi perkembangan geopolitik serta data ekonomi global membuatkan Ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

Bagaimanapun, ia menunjukkan prestasi lebih baik berbanding kebanyakan mata wang utama.

Pada jam 8.01 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada paras 4.0600/0680 berbanding dolar AS, susut daripada 4.0555/0600 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengukuhan dolar AS didorong oleh peningkatan Indeks Dolar AS (DXY) sebanyak 0.29 peratus kepada 99.152 mata, dalam suasana risiko geopolitik yang semakin memuncak.

Menurut beliau, perkembangan protes di Iran yang terus mendapat perhatian pentadbiran Presiden Donald Trump meningkatkan kemungkinan campur tangan oleh Amerika Syarikat, sekali gus menyokong permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang selamat.

“Pada masa yang sama, data makroekonomi AS menunjukkan kadar inflasi utama pada Disember kekal pada 2.7 peratus, manakala inflasi teras menyederhana kepada 2.6 peratus.

“Namun begitu, paras inflasi yang masih jauh melebihi sasaran 2.0 peratus dijangka mendorong Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah penanda aras pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) hujung bulan ini,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Beliau turut menjelaskan keadaan itu berpotensi mencetuskan ketegangan antara Fed AS dan pentadbiran Trump.

Pada awal dagangan, ringgit mencatat pengukuhan berbanding mata wang utama lain, termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5499/5551 daripada 2.5521/5551, mengukuh berbanding euro kepada 4.7267/7360 daripada 4.7344/7396, serta naik berbanding pound Britain kepada 5.4506/4613 daripada 5.4676/4737 sebelum ini.

Bagaimanapun, prestasi ringgit berbanding mata wang ASEAN menunjukkan pergerakan bercampur-campur.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1495/1562 daripada 3.1511/1549 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8697/9008 daripada 12.8840/12.9036.

Sebaliknya, mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 240.5/241.1 daripada 240.3/240.6 dan melemah berbanding peso Filipina kepada 6.84/6.86 daripada 6.83/6.84 sebelumnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat