PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menetapkan sasaran nilai jualan sebanyak RM30 juta menerusi Pelan Strategik RisSMart 2030 dalam usaha memperkasa ekonomi desa secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
RISDA dalam kenyataan media pada Ahad memaklumkan, sasaran itu diumumkan sempena Majlis Perasmian RisSMart Grocer yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Urban Eats@Kwasa Damansara, Kuala Lumpur.
Kata RISDA, majlis berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta RISDA dalam memperkukuh pembangunan desa selaras Aspirasi Desa MADANI dan agenda Ekonomi Desa Nasional.
“RISDA terus memainkan peranan signifikan dalam memperkasa kira-kira 508,000 pekebun kecil getah di seluruh negara, bukan sahaja dalam sektor komoditi.
“Malah meliputi keusahawanan, agromakanan, pemasaran serta penerokaan peluang ekonomi baharu bagi memastikan sumber pendapatan lebih pelbagai, stabil dan mampan,” katanya.
Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar serta Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.
Di bawah pelan strategik itu, RISDA menyasarkan pembangunan ekosistem peruncitan dan pemasaran secara holistik yang meliputi 1,000 variasi produk usahawan, 25 produk jenama RisSMart, pembukaan 50 outlet domestik dan lima outlet global, selain 15 francais.
Pelan tersebut turut merangkumi pembangunan pusat pengedaran, hab pemprosesan serta pangkalan data bagi menyokong sistem pemasaran bersepadu berteraskan teknologi, logistik dan pendigitalan.
“Pembukaan RisSMart Grocer merupakan langkah penting dalam memperluas akses pasaran produk usahawan desa melalui platform peruncitan moden yang menghubungkan pengeluar secara terus kepada pengguna,” jelas RISDA.
Sehingga kini, sebanyak 265 variasi produk keluaran usahawan bimbingan RISDA merangkumi makanan segar, sejuk beku serta barangan keperluan harian telah dipasarkan di pasar raya berkenaan dan jumlah itu dijangka terus meningkat.
Usahawan turut dibimbing secara sistematik merangkumi aspek penjenamaan, pembungkusan, pematuhan piawaian keselamatan makanan termasuk pensijilan halal, strategi pemasaran serta pengurusan rantaian bekalan.
Melalui anak syarikatnya, RISDA Agrifood Industries Sdn Bhd (RAFI), sebanyak 14 outlet RisSMart24 dan tiga outlet RisSMart Butchery kini beroperasi bagi memperkukuh kehadiran jenama itu dalam sektor peruncitan moden berasaskan komuniti.
“Pengukuhan ekosistem RisSMart ini diyakini mampu memperluas pasaran produk, meningkatkan pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh daya saing produk desa, sekali gus mengangkat martabat komuniti pekebun kecil,” menurut kenyataan itu.








