Risiko penularan kes Tibi tidak boleh dipandang ringan – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA: Penyakit Tuberkulosis (Tibi) bukan isu baharu dalam landskap kesihatan awam negara, sebaliknya kekal sebagai penyakit endemik yang memerlukan perhatian berterusan semua pihak, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, mutakhir ini timbul persepsi yang mengaitkan penularan Tibi dengan kemasukan warga asing, namun data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sebaliknya.

“Sebanyak 85 peratus kes Tibi yang dilaporkan melibatkan rakyat tempatan, manakala hanya 15 peratus membabitkan warga asing. Ini bermakna risiko penularan dalam komuniti kita sendiri adalah nyata dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Menurut beliau, Tibi bukan sekadar isu klinikal, malah berkait rapat dengan faktor sosioekonomi seperti kesesakan tempat tinggal dan kekurangan zat makanan.

Katanya, bakteria Mycobacterium tuberculosis yang menyebabkan penyakit itu sememangnya sukar dihapuskan, namun ia boleh dicegah, dirawat dan sembuh sepenuhnya sekiranya dikesan awal serta pesakit mematuhi rawatan antibiotik sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap simptom Tibi seperti batuk melebihi dua minggu, demam atau berpeluh pada waktu malam serta penurunan berat badan tanpa sebab jelas.

“Segera dapatkan pemeriksaan di klinik sekiranya mengalami gejala berkenaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak meminggirkan pesakit Tibi kerana sokongan keluarga dan komuniti amat penting bagi memastikan mereka menamatkan rawatan.

Dalam aspek pencegahan, beliau menekankan kepentingan imunisasi Bacille Calmette-Guérin (BCG) untuk kanak-kanak, selain mengamalkan gaya hidup sihat dan memastikan pengudaraan rumah yang baik.

KKM, katanya, komited memperkukuh strategi pengesanan aktif kes serta bekerjasama dengan pelbagai agensi melalui pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) bagi menamatkan endemik Tibi di Malaysia.

“Sama-sama kita lindungi keluarga dan komuniti daripada ancaman Tibi,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat