Rita Rudaini terima pingat darjah kebesaran Perlis

PELAKON terkenal, Rita Rudaini menerima Pingat Jasa Baik (PJB) daripada kerajaan Negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau, semalam.

Anugerah itu merupakan kali ketiga buat Rita atau nama penuhnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar yang diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam dunia seni lakon dan kerja-kerja amal.

“Saya amat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis atas penganugerahan ini.

“Anugerah ini satu penghormatan besar dan rezeki untuk diri saya, anak-anak serta semua yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” ujarnya.

Rita, yang dikenali menerusi filem Mami Jarum, berkata pengiktirafan itu memberi suntikan semangat untuk terus berkarya dengan lebih tekun dan penuh integriti.

“Ini juga peringatan bahawa setiap usaha yang ikhlas dan jujur pasti akan ada nilainya, cepat atau lambat.

“Saya harap pengiktirafan ini dapat menjadi inspirasi kepada anak seni lain untuk terus berkarya dengan dedikasi serta menjaga maruah profesion seni,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rita turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Negeri Perlis serta semua pihak yang banyak memberi sokongan sepanjang kerjayanya.

“Terima kasih kepada exco kerajaan negeri yang terlibat atas pengiktirafan ini. Insya-Allah, akan ada banyak aktiviti bersama mereka selepas ini.

Tidak lupa kepada penerbit, pengarah, penggiat seni, rakan media dan peminat yang sentiasa menghargai bakat saya dan terus menyokong dari dulu hingga kini,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat