PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) mencatat peningkatan kepada RM517.19 bilion setakat 14 November 2025, berbanding RM515.94 bilion pada 31 Oktober lalu.
Dalam satu kenyataan, BNM memaklumkan paras rizab tersebut mencukupi untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali hutang luar jangka pendek negara.
Menurutnya, komponen rizab antarabangsa itu merangkumi mata wang asing berjumlah RM456.76 bilion, rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (RM5.42 bilion), hak pengeluaran khas atau SDR (RM24.59 bilion), emas (RM20 bilion) dan aset rizab lain bernilai RM10.42 bilion.
“Daripada segi keseluruhan aset, BNM merekodkan jumlah RM617.78 bilion yang terdiri daripada pertukaran emas dan mata wang asing termasuk SDR sebanyak RM522.91 bilion, kertas kerajaan Malaysia bernilai RM13.42 bilion, deposit dengan institusi kewangan sebanyak RM1.24 bilion serta pinjaman dan pendahuluan berjumlah RM28.13 bilion.
“Aset lain pula merangkumi tanah, bangunan dan aset tetap bernilai RM4.56 bilion serta aset lain berjumlah RM47.50 bilion,” kata kenyataan itu.
BNM berkata, jumlah modal dan liabiliti turut mencatat RM617.78 bilion, terdiri daripada modal berbayar RM100 juta, rizab RM203.70 bilion, mata wang dalam edaran RM174.31 bilion serta deposit institusi kewangan berjumlah RM125.46 bilion.
Kata BNM lagi, komponen lain termasuk deposit Kerajaan Persekutuan sebanyak RM9.14 bilion, deposit lain RM65.60 bilion, kertas Bank Negara RM8.39 bilion, peruntukan SDR RM27.87 bilion dan liabiliti lain bernilai RM3.19 bilion.
BNM berkata, kedudukan rizab semasa kekal kukuh dan mampu menyokong keperluan ekonomi serta kestabilan kewangan negara.








